Inisiatif Pemakaian Topi Keledar.Sri Andalas, Klang Selangor.
23 OGOS 2008
Pada hari ini telah berlangsung penyerahan topi keledar bagi program inisiatif pemakaian topi keledar kawasan Sri Andalas, Klang Selangor. Program ini telah mendapat kerjasama dan sokongan padu syarikat UMW Toyota Motor yang telah bermurah hati menaja sebanyak 8,000 buah topi keledar di bawah Program Inisiatif Topi Keledar Kebangsaan, “Taja Topi Keledar, Selamatkan Nyawa”, untuk diagihkan secara percuma kepada penunggang dan pembonceng motosikal.
Sumbangan dan komitmen pihak UMW Toyota Motor untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan bagi menangani isu-isu keselamatan jalan raya amat dihargai dan disanjungi tinggi oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Kementerian Pengangkutan. Usaha sebegini seharusnya menjadi contoh dan tauladan kepada syarikat swasta yang lain dalam usaha melaksanakan tanggungjawab korporat sosial mereka kepada masyarakat.
Program ini juga bertujuan untuk memupuk budaya pemakaian dan kegunaan topi keledar dengan betul bagi mencapai sasaran kegunaannya pada kadar 100% khasnya di kawasan Sri Andalas, Klang.
Program Inisiatif Topi Keledar Kebangsaan ini memerlukan sokongan dan kerjasama serta sumbangan daripada pihak individu, swasta dan NGO bagi menaja seberapa banyak topi keledar untuk diagihkan secara percuma.
Program ini merupakan satu langkah intervensi yang penting bagi usaha memulihkan keadaan sekarang di mana paras kegunaan topi keledar ialah 40% hingga 50% sahaja di kawasan Sri Andalas, Klang berbanding dengan kadar kegunaan 90% di kawasan bandar.
Kajian MIROS mendapati 68% daripada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di kalangan penunggang dan pembonceng motosikal adalah disebabkan oleh kecederaan di bahagian kepala.
Maka diharapkan program ini dapat memberikan impak besar dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman terhadap kepentingan penggunaan topi keledar yang disahkan oleh SIRIM dan dipakai dengan betul dapat memberikan perlindungan di bahagian kepala kepada golongan penunggang dan pembonceng motosikal.
Semoga Program Inisaitif Topi Keledar Kebangsaan ini mampu menyumbang ke arah pengurangan 50% kadar kematian akibat kemalangan jalan raya bagi mencapai sasaran di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya, Malaysia 2006 – 2010.
Sumber : Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Malaysia.
0 Response for the "Kenyataan Akhbar.."
Post a Comment